Selamat Melayari Kembara Hadi Contact Us

QANA'AH

Qana’ah?Pernahkah anda melihat seorang yang apabila mendapat harta kekayaan tidak terzahir pada dirinya kegembiraan, dan apabila harta kekayaan itu hilang tidak pula ia bersedih. Apabila dipuji atau dicela, sama sahaja reaksi dirinya terhadap kedua-duanya? Inilah antara tanda-tanda mereka yangmempunyai sifat Qana’ah.


Qana’ah bermaksud berasa cukup dan tenang dengan apa yang dimiliki. Redha dan Yakinmerupakan dua perkataan yang agak sinonim dengan perkataan Qana’ah. Sifat ini menunjukkan hubungan dan pergantungan yang tinggi kepada Allah s.w.t.

Rasulallah s.a.w sangat menitikberatkan sifat ini.Bahkan sebelum kenabian lagi, beliau telah diterapkan sifat ini dengan uzlah di gua Hira’, memisahkan diri dari dunia dan segala kenikmatannya untuk menumpukan pembinaan diri.

Kemudian Rasulallah s.a.w menerapkan sifat ini kedalamvpara sahabat dan menjadikan mereka generasi terbaik sepanjang zaman. Iaitu golongan yang membuang dunia kerana rindukan syurga.

Jalan menuju Qana’ah.

1. Menjadikan Akhirat sebagai matlamat utama.Mereka yang sibuk dengan akhirat, tidak akan menghiraukan dunia.Hati mereka sudah tertaut dengan syurga dan kenikmatan-kenikmatannya, maka tiadalah nilai nikmat nikmat dunia disisi mereka dan mereka hanya mengambil sekadar yang perlu sahaja.

Hadis Rasulallah s.a.w yang bermaksud:“ Jadilah kamu di dunia ini seolah-olah kamu adalah orang asing atau sebagai orang yang melalui jalan.” HR Bukhari.

2. Mengetahui hakikat dunia.39. "Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja), dan Sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri Yang kekal.

Rasulallah s.a.w pernah bersabda yang membawa maksud : sekiranya dunia ini ada nilai disisi Allah walaupun sebesar sebelah sayap nyamuk, nescaya orang kafir tidak akan diberi minum.“Apalah aku ini dengan dunia! sesungguhnya perumpamaan diriku dan dunia adalah seperti seorang musafir, tidur sejenak di siang hari dibawah pokok untuk berehat kemudian meneruskan perjalanan dan meninggalkannya.” HR Tarmidzi

Inilah dunia. Hanya sebuah persinggahan yang bersifat sementara.

3. Zuhud di dunia. Satu hari seorang lelaki telah mendatangi Rasulallah s.a.w, dan berkata: “wahai Rasulallah, tunjukkanlah aku amalan yang apabila aku mengamalkannya, Allah akan mencintaiku, dan manusia juga akan mencintaiku”, maka berkata Rasulallah s.a.w: “zuhudlah di dunia, nescaya Allah akan mencintaimu, dan zuhudlah dengan apa yang ada disisi manusia, nescaya manusia akan mencintaimu”. HR Ibnu Majah.

Zuhud yang sebenar adalah sesiapa yang didatangi dunia tetapi ia sedikit pun tidak melalaikan dia daripada tuhannya bahkan pada pandangannya ia (dunia dan kenikmatannya) hanyalah perkara kecil. Lihatlah sahabat sahabat agung seperti Abu Bakar, Uthman, dan Abdur Rahman Auf. Mereka telah didatangai dunia, tetapi hubungan mereka dengan Allah tidak terjejas, bahkan sentiasa bertambah.Merekalah contoh zuhud yang sebenar. Maka janganlah memandang zuhud itu pada orang miskin yang papa.

4. Melihat kepada orang yang lebih rendah dari kamu. Daripada Abu Hurairah r.a: Rasulallah s.a.w telah bersabda: “lihatlah kepada mereka yang lebih rendah daripada kamu, dan janganlah melihat kepada mereka yang lebih tinggi daripada kamu kerana ia lebih patut supaya kamu tidak sombong dengan nikmat Allah terhadap kamu.”Muttafak Alaih.

Melihat kepada orang yang lebih kaya akan menimbulkan rasa tidak puas hati dan keinginan untuk menjadi kaya seperti mereka. Akhirnya manusia akan terjerat dalam permainan dunia yang bertuhankan harta. Hidup semata-mata untuk mencari dunia dan memuaskan nafsu. Sedangkan nafsu itu tidak akan puas. Habis dikejar segunung emas, segunung lagi akan dicari. Dan inilah apa yang berlaku pada kebanyakan manusia sekarang, termasuk orang islam sendiri.

Lihatlah kepada golongan yang lebih miskin. Sedarlah betapa beruntungnya kita, dan belajarlah untuk bersederhana.

5. Banyakkan memberi.Belajar untuk memisahkan diri dengan harta kerana apabila mati nanti kita akan tinggalkan harta itu untuk selamanya. Pada sedekah itu juga ada penyucian harta dan membawa kepada keberkatan.

Rasulallah s.a.w juga pernah bersabda bahawa tangan yang diatas (memberi) lebih baik daripada tangan yang dibawah (menerima).

6. Mengambil contoh dari mereka yang terdahulu. Pernahkah kita tertanya, apakah yang ditinggalkan oleh Rasulallah s.a.w ketika beliau wafat?

Amru bin Harith r.a berkata, “ketika kewafatan Rasulallah s.a.w, beliau tidak meninggalkan dinar atau diraham, hamba lelaki mahupun hamba perempuan, atau sebarang benda lain, kecuali keldai putihnya yang menjadi tunggangan Baginda,pedang beliau, dan tanah yang disedekahkan untuk ibnu sabiil(mereka yang dalam perjalanan).”HR Bukhari.

Kisah sahabat agung, Mus’ab bin Umair. Khabab bin Al-Arat r.a berkata, “kami berhijrah bersama Rasulallah s.a.w kerana mengharapkan ganjaran Allah, makaganjaran kami terletak pada Allah. Ada dikalangan kami yang meninggal dunia tanpa menikmati sebahagian pun dari ganjaran itu di dunia.Salah seorang dari mereka adalah Mus’ab bin Umair,yang syahid pada hari Uhud.Dia tidak meninggalkan sesuatu pun di dunia melainkan sehelai kain yang apabila ditutup mukanya kakinya akan terdedah, dan apabila ditutup kakinya, mukanya pula akan terdedah.Maka Rasulallah s.a.w menyuruh supaya ditutup mukanya dan ditutup kakinya dengan daun.”

Mus’ab merupakan pemuda yang dibesarkan dengan kekayaan dan kemewahan. Beliau sangat disayangi oleh keluarga dan masyarakat.Tiadalah sebuah majlis ataukeraian yang dihadiri oleh beliau melainkan semua orang akan berasa seronok dan gembira. Setelah memeluk Islam, Mus’ab telah membuang dunia dan segala kenikmatannya untuk menumpukan akhiratnya.Kisah beliau ini adalah kisah kebanggaan umat.Akhirat itulah matlamat Sahabat, para pembaca yangdikasihi. Satu hakikat yang mesti difahami oleh setiap muslim ialah hakikat bahawa dunia ini hanyalah tempat persinggahan sementara sebelum kita meneruskan perjalanan kita ke akhirat.

Tidak masuk akal seorang yang datang bersinggah di satu tempat membeli berbagai barangan dan harta untuk dinikmati sekejap, dankemudiannya meninggalkan barang dan harta itu apabila dia pergi. Matlamat dunia ini adalah untuk mengambil bekalan untuk dibawa ke ahkirat, dan bukannya mengumpulkan harta kekayaan dunia supaya dapat dinikmati sekarang.Nikmat bagi seorang mukmin adalah di akhirat kelak.

Ambillah sekadar yang perlu sahaja dari dunia dan tumpukan bekalan akhirat berupa amal-amal soleh dan amal-amal kebajikan.Mudah-mudahan Allah menerima amalan kita dan menyediakan tempat yang baik untuk kita di akhirat kelak. Dan menjadikan kita hamba-hambanya yang sentiasa rindukan kampung halaman di syurga.

Catat Ulasan

PERINGATAN: kembara Hadi tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.